KUTIPAN TOL DI PLAZA TOL ECO GRANDEUR, LEBUHRAYA LATAR BERKUAT KUASA MULAI 7 OGOS 2026
KENYATAAN MEDIA
(Untuk Siaran Segera)
6 OGOS 2026
KUTIPAN TOL DI PLAZA TOL ECO GRANDEUR, LEBUHRAYA LATAR
BERKUAT KUASA MULAI 7 OGOS 2026
Puncak Alam – KL-Kuala Selangor Expressway Bhd (LATAR) ingin mengumumkan bahawa kutipan tol di Plaza Tol Eco Grandeur, Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 7 Ogos 2026.
Persimpangan Eco Grandeur (Exit 2502) telah dibuka kepada pengguna pada 11 November 2025 bagi menyediakan akses yang lebih mudah dan lancar ke kawasan pembangunan pesat seperti Eco Grandeur, Eco Business Park V, Puncak Alam, Ijok serta Kuala Selangor. Hasil daripada rundingan antara Kerajaan dan Syarikat Konsesi bagi tanggung jawab sosial syarikat konsesi, pengguna telah menikmati pengecualian bayaran tol melebihi lapan (8) bulan semenjak pembukaannya sehingga kini.
Kutipan tol di Plaza Tol Eco Grandeur yang akan mula dilaksanakan pada 7 Ogos 2026 adalah selaras dengan terma Perjanjian Konsesi dan bagi memastikan penyenggaraan, operasi serta penyampaian perkhidmatan lebuh raya kepada pengguna dapat diteruskan secara mampan.
Kadar tol di Plaza Tol Eco Grandeur adalah seperti berikut:
|
KELAS |
JENIS KENDERAAN |
KADAR TOL (RM) |
|
Kelas 1 |
Kenderaan yang mempunyai 2 gandar dan 3 atau 4 roda (kecuali teksi dan bas) |
1.15 |
|
Kelas 2 |
Kenderaan yang mempunyai 2 gandar dan 5 atau 6 roda (kecuali bus) |
2.30 |
|
Kelas 3 |
Kenderaan yang mempunyai 3 gandar atau lebih (kecuali bas) |
3.45 |
|
Kelas 4 |
Teksi
|
0.57 |
|
Kelas 5 |
Bas
|
1.15 |
Ketua Pegawai Operasi LATAR, En. Ahmad Fuad Ahmad Shahimi, berkata pelaksanaan kutipan tol ini merupakan sebahagian daripada pengoperasian rasmi Plaza Tol Eco Grandeur yang telah memberi manfaat besar kepada pengguna, di mana ia adalah antara infrastruktur penting yang menyokong pertumbuhan pembangunan di koridor utara Selangor dengan menyediakan hubungan yang lebih cekap antara kawasan perindustrian, komersial dan perumahan di kawasan sekitar sejak ia dibuka tahun lalu.
"Pembukaan Persimpangan Eco Grandeur telah meningkatkan tahap kebolehcapaian serta memudahkan pergerakan pengguna, khususnya penduduk dan komuniti perniagaan di sekitar Eco Grandeur, Eco Business Park V, Puncak Alam, Ijok dan Kuala Selangor. Selepas tempoh pengecualian bayaran tol selama lebih lapan bulan, kutipan tol kini dilaksanakan mengikut kadar yang telah diluluskan oleh Kerajaan."
Beliau turut memaklumkan bahawa Plaza Tol Eco Grandeur dilengkapi dengan 10 lorong kutipan tol, iaitu lima (5) lorong bagi setiap arah, yang menyediakan pelbagai kaedah pembayaran tol termasuk Touch 'n Go, SmartTAG, RFID serta Kad Debit dan Kad Kredit bagi memastikan proses transaksi tol berjalan dengan lancar dan efisien.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-6145 1515 atau mengikuti laman web serta saluran media sosial rasmi LATAR Expressway untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi lebuhraya.
